Tuesday, August 12, 2008

berita harian 120808

UiTM tentukan dasar ambil pelajarnya: PM

SERDANG: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini berkata Universiti Teknologi Mara (UiTM) sendiri yang mempunyai kuasa dan hak dalam menentukan dasar pengambilan pelajar ke institusi pengajian tinggi itu.

Perdana Menteri berkata, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak mempunyai kuasa untuk mencadangkan supaya kuota pelajar UiTM dibuka kepada bukan bumiputera.

“Ini bukan dia punya kuasa. Hal yang berkaitan dengan pengambilan (pelajar) adalah hal yang berkaitan dengan institusi pengajian yang berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2008 di sini hari ini.

Abdullah berkata demikian semasa diminta mengulas kenyataan Abdul Khalid dua hari lepas yang mencadangkan 10 peratus daripada jumlah semasa kuota pelajar di UiTM dibuka kepada bukan Bumiputera serta pelajar asing.

Abdul Khalid berkata, pelaksanaan cadangan itu akan dapat meningkatkan kualiti pendidikan dan persaingan di kalangan pelajar institusi pengajian tinggi itu.

Cadangan itu bagaimanapun mendapat bantahan bekas pelajar UiTM yang menyifatkannya sebagai sesuatu yang tidak masuk akal dan tidak wajar diberikan pertimbangan.

Hari ini di Shah Alam, kira-kira 5,000 pelajar UiTM berhimpun di hadapan pintu masuk Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah (SAAS), bangunan pentadbiran kerajaan negeri Selangor, sebagai membantah cadangan itu. — Bernama

No comments: