*Lagu viva la vida* samsung corby 2 yang telah aku tetapkan penggera masa berbunyi. Bingkas aku bangun, menyelesaikan mandi di pagi dingin secepat mungkin dan bersiap siaga untuk hari terakhir menjadi Pengawas PMR. Nah, aku terlupa untuk menyeterika baju kemejaku. Lantas aku segera mengambil baju dari dalam almari, menuju ke papan seterika dan melakukan kerja-kerja menggosok kemeja putih berjalur biru hijau itu sepantas kilat.
"Sudah 6.15..." getus hati kecilku. Kasut hitamku sarungkan, selepas stokin kelabu kupastikan disarung kemas di kaki. Persis seorang biduan dari desa, aku menyorot langkah menuju ke kereta. Tanpa membuang masa, aku memandu keretaku, meluncur laju membelah kabus tebal subuh hari. 6.45 pagi aku tiba di Bilik Kebal SMK Tinggi, Segamat. Mujurlah aku tidak terlalu lewat.
Selesai mengambil soalan, aku menumpang ketua pengawas untuk ke gerai Jom Singgah. "Mengalas perut saja. Kelak kita dijamu lagi. Sekolah ini ada pekerti. Dijamu kita saban hari..." Aku mengiyakan sahaja. Maklumlah, perut nan lapar apa lagi mahu dibual bicarakan. Langsungkan sahaja sesi mengalas perut ini. Kita ada misi. 2 jam 30 minit yang terakhir bagi Pusat Peperiksaan ini. Anak-anak SMAKS pastinya tidak lena tidurnya, memikirkan cara memekik tanda gembira, bersorak tanda merdeka. Anak-anak SMAKS pastinya tidak akan lupa, ini hari terakhir mereka untuk diuji segala macam benda. Sejak dari hari selasa lalu, hingga selasa minggu ini mereka berjuang di medan peperiksaan; bersenjatakan bukan kapak dan parang, namun ilmu pengetahuan.
Dari kejauhan sudah kelihatan langit mendung dan mentari hilang entah di mana. "Mungkin pagi lagi..." kata Cikgu Zakaria, "Tapi di seberang sana, sudah hujan nampaknya..." balasku. Serentak dengan penghabisan kata-kataku, titis-titis air mata awan membasahi tanah merah di luar kawasan kedai makan kami. Kasutku hitam akan bercapuk tanah merah nampaknya. Berlari menuju ke kereta dan kami bersiap siaga, meneruskan misi keramat, 2 jam 30 minit ini...
Kami tiba di SMAKS disambut dengan senyum anak-anak pelajar yang keletahnya seperti kera mendapat bunga. Gembira mungkin. Dan disapa bayu lembut dalam damai hujan pagi yang mendinginkan. Aku menggalas beg hijau berisi bundalan kertas soalan. Melewati pondok tempat anak-anak gadis menelaah buat saat-saat akhir. Biarlah mereka. Ini masa mereka. Masaku yang aku kesali sudah lama berlalu. Dengan 7A
1B dan 'hutang' dengan Ustaz Wan Harun tertunai sudah. Hukuman dijalankan dengan mudah, jika terserempak dengannya dan dipanggil, maka akan dihukum. Tak kiralah di mana sahaja aku berada. Pernah sekali aku di'hukum' saat aku melewati foyer sekolah. Dengan senyum 'angkernya' dan gerakan tangannya, dipanggilnya aku."Hey, thor..mari sini..awak hutang dengan saya..." itulah Ustaz Wan Harun, yang hukumannya unik-unik namun terkesan di hati. Tugasnya meladeni kami, anak-anak muda yang sering alpa dan lupa diri.
"Anda boleh mula menjawab sekarang." Begitulah awal mula bicara mula yang mencetus enjin minda pejuang kecil PMR ini. Satu-persatu soalan dijawab dan dalam masa satu jam, seorang demi seorang tewas di muka meja. Tersengguk-sengguk. Terlentok-lentok dan akhirnya terembam di meja. Saat denting mencecah setengah jam selepas peperangan 2 jam 30 minit ini bermula, aku memulakan tugasan. Menandatangani kehadiran. Satu demi satu ku tanda nama mereka. Yang hadir ditanda, yang tidak hadir ditinggalkan huruf 'T' dengan warna merah. Sehingga cukup lapan puluh lima dan aku simpan kehadiran, biarkan Ketua Pengawas membuat analisa kehadiran.
1 jam berlalu.
Aku melakukan rondaan. Mataku semakin berat. Inilah natijahnya tidur lewat.
1 jam tiga puluh minit berlalu.
Aku nyaris-nyaris dibuai bayu pagi yang bisu namun halus dingin sentuhannya.
2 jam berlalu.
Aku bingkas bangkit dan mengeliat sedikit. Melepaskan tekanan pada urat dan saraf serta otot malas yang sedang merengkot dimamah penyakit Malas. Sudah ada yang senyum-senyum. Pandang kiri dan kanan; tanda tidak keruan. Pastinya ada yang sudah berkira-kira sama ada untuk bercuti ke sini sana. Dengarnya ada pengumuman untuk mereka.
"Masa menjawab telah tamat. Sila letakkan pensel dan pen anda. Sila berhenti menulis."
Nafasku dihela panjang. Pastinya mereka lebih lega. Lega kerana perjuangan ini akhirnya tamat. Pastinya mereka enggan duduk sekali lagi bagi tempoh yang sama, masa yang sama dan dalam tahun berbeza. Mereka ingin keluar dari kepompong PMR ini dan bebas terbang laksana rama-rama, mengibas-ngibas kepak cantik mereka, membuat semua terpana.
"Anda akan bercuti hingga 30 Oktober 2011..." pastinya pengumuman itu menjadi rojak petis bagi kegembiraan mereka. Perisa tambahan. Lega diperoleh dan cuti panjang akan dimanfaatkan semaksima mungkin. Tahniah. Jangan lupa kembali ke sekolah, getus hati kecilku.
Selesai tugasan, jamuan dihidangkan. Hari ini nasi minyak dan ayam masak merah. Kecur air liur, luluh semangat untuk 'diet'. Buat apa dibazirkan. Rezeki sudah ada di hadapan. Menjamah makanan sambil bercerita dengan Pengetua Ramah. Bukan namanya ramah, namun sikapnya. Tangan dihulurkan tanda kemaafan. Kami berlalu pulang, sebagai tetamu Tuan-tuan. Izinkan kami singgah lagi, jika berkesempatan.
Selesai menjamah hidangan, kami bergegas ke Bilik Kebal. Pulangkan apa yang patut dipulangkan. Segala peralatan peperiksaan, dari pen marker papan putih hingga ke pita perekat. Semuanya hak Bilik Kebal. Setelah dipulangkan segala macam peralatan; berat kakiku melangkah. Menuju ke lubuk asalku berkhimdmat. Bukan untuk berkhianat.
Akhirnya, bercanda di Smart Food. Dengan rakan sekerja yang hampir seminggu genap tidak bersua muka, bergelak ketawa.
|thorempire|where arts meet language|since 2005|