KUALA KANGSAR 6 Ogos - Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah bertitah, Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) wajar dibangunkan hingga mencapai taraf antarabangsa yang berupaya menawarkan tempat pengajian kepada pelajar-pelajar Melayu dari seluruh dunia.
Titah baginda, bagi merealisasikan tanggungjawab itu, MCKK wajar dijadikan perkampungan akademik bagi seluruh rumpun Melayu dan untuk itu sebuah kurikulum di peringkat antarabangsa seperti International Baccalaureate wajar diperkenalkan kepada pelajar.
``Untuk itu, atas nama Pengerusi Lembaga Pengelola MCKK, beta menawarkan kepada negara, kesediaan MCKK mengambil tanggungjawab besar tersebut; tanggungjawab membantu merealisasikan hasrat dan impian negara untuk muncul sebagai sebuah negara maju, bangsa yang dapat berperanan aktif, merealisasikan pelaksanaan program pembangunan insan di peringkat antarabangsa.
``Ini kerana dalam tempoh 100 tahun yang lalu, MCKK telah mengambil langkah mencantumkan pemikiran muda Melayu di tanah air ini, melalui program pendidikan.
``Untuk itu, biarlah, Bandar di-Raja Kuala Kangsar, sekali lagi menjadi tanah dan bumi, tapak semaian yang dapat mencantumkan dan menyatukan pemikiran dunia Melayu,'' titah baginda pada Hari Ucapan dan Penyampaian Hadiah MCKK 2005 di sini hari ini.
Baginda yakin, MCKK adalah antara pusat pendidikan yang memiliki keupayaan untuk melaksanakan tanggungjawab sedemikian.
``MCKK bersedia mengambil tanggungjawab, menjadi perkampungan akademik bagi seluruh rumpun Melayu.
``MCKK mempunyai potensi, menjadi tapak semaian tunas muda Melayu untuk membina rangkaian hubungan dan kerjasama di peringkat global,'' titah baginda.
MCKK telah mencapai usia 100 tahun setelah penubuhannya pada tahun 1905 hasil pemikiran dirumuskan oleh Raja-Raja Melayu.
Pada masa itu, Raja-Raja Melayu berpandangan adalah penting bagi anak bangsa, dibekalkan dengan pendidikan dan diperlengkap penguasaan ilmu pengetahuan selaras dengan keperluan semasa negara dan dunia.
Fikiran radikal Raja-Raja Melayu 100 tahun lalu telah mencetuskan satu revolusi pendidikan kepada orang Melayu khususnya dan kepada negara secara menyeluruh.
MCKK pada mulanya ditubuhkan untuk anak-anak golongan aristokrat Melayu tetapi keadaan berubah menurut masa dan kemasukan para pelajar kemudian menurut merit.
``Negara hendaklah terus bijak, mengatur langkah strategik, mengambil peranan sebagai pemimpin, memenuhi keperluan dan permintaan di persada antarabangsa dan harus bersedia, berfikiran lebih terbuka - lebih fleksibel, dalam melaksanakan program pendidikan,'' titah baginda.
Baginda bertitah, MCKK di era globalisasi, teknologi maklumat dan komunikasi dan di era ekonomi berpaksikan pengetahuan, perlu berani mengambil tanggungjawab lebih besar selaras dengan wawasan negara untuk mencapai taraf negara maju.
``Semoga pencapaian hari ini, dijadikan tangga untuk memperoleh kejayaan lebih besar,'' titah baginda.